Pengeluaran KWSP Untuk Membeli Rumah

 

Ramai  tidak tahu bahawa simpanan KWSP atau EPF boleh digunakan untuk membeli rumah. Nak tahu macamana cara pengeluaran KWSP untuk membeli rumah? Teruskan membaca!

Sedikit sebanyak berkenaan KWSP. Akaun KWSP kita terbahagi kepada 2, iaitu :

  1. Akaun 1 – 70% daripada jumlah gaji yang ditolak dan akaun ini hanya boleh dikeluarkan setelah memenuhi syarat, iaitu mencapai 55 tahun, kehilangan upaya, meninggalkan negara atau meninggal dunia
  2. Akaun 2 – 30% daripada jumlah yang ditolak. Akaun 2 inilah yang boleh keluarkan untuk tujuan tertentu, contohnya untuk membeli rumah.

Pengeluaran KWSP Untuk Membeli Rumah : Syarat-Syarat

Antara syarat-syarat utama permohonan adalah :

  1. Permohonan mestilah untuk membeli rumah
  2. Umur anda tidak melebihi 55 tahun
  3. Jumlah minima dalam akaun ada RM500

Anda boleh memohon untuk jenis rumah kediaman seperti banglo, teres, berkembar, apartment, kondominium, studio apartment, service apartment, townhouse, SOHO, atau rumah kedai dengan unit kediaman. Senang cerita, asalkan ada title kediaman.

Untuk pengeluaran KWSP untuk membeli rumah pula, anda kena pastikan pinjaman perumahan adalah daripada badan-badan berlesen seperti seperti bank. Untuk selain bank, pastikan pinjaman tersebut adalah daripada :

  • Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan        Kewangan Islam 2013
  • Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan
  • Majikan ahli
  • Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia)
  • Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia
  • Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP
  • Secara tunai

Walaubagaimanapun, wang pendahuluan (deposit) untuk pembelian rumah mestilah disediakan terlebih dahulu. Kemudian boleh gunakan wang KWSP selepas permohonan diluluskan untuk menggantikan wang pendahuluan.

Jika tiada wang pendahuluan, cuba cari penjual rumah yang sanggup tunggu pengeluaran KWSP untuk membeli rumah anda.

Jika anda sudah membeli rumah dan belum membuat pengeluaran KWSP :

Antara syarat lain pengeluaran adalah ; Surat Perjanjian Jual Beli (SPA) adalah tidak melebihi tiga (3) tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP.

Maksudnya anda ada masa 3 tahun untuk memohon bermula dari tarikh SPA.

Untuk bina rumah sendiri pula, anda boleh memohon dengan syarat tanah dibeli secara pakej dengan pembinaan rumah. Pembinaan rumah mesti bermula dalam masa 6 bulan dari tarikh pembelian tanah.

Selain itu, skim sewa beli juga layak untuk memohon.

Jika anda pernah membuat pengeluaran KWSP untuk membeli rumah :

Pengeluaran KWSP adalah untuk membeli rumah pertama dan kedua sahaja. Jadi, anda masih layak untuk memohon jika pengeluaran sudah dibuat untuk rumah pertama.

Tetapi, rumah pertama mestilah dijual atau dilupuskan pemilikannya atau tukar hak milik terlebih dahulu. Selepas itu barulah anda layak untuk memohon.

Permohonan anda boleh ditolak jika :

  1. Membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja
  2. Mengubahsuai, membaiki atau membuat kerja-kerja tambahan kepada rumah sedia ada
  3. Pemilikan harta tidak melalui transaksi jual beli
  4. Mengambil pinjaman Overdraf
  5. Membeli rumah ketiga
  6. Membeli rumah di luar negara

Berapa jumlah wang yang boleh dikeluarkan?

Untuk jumlah wang yang boleh dikeluarkan, ia terbahagi kepada dua kategori :

    1. Pembelian rumah oleh individu
    2. Pembelian rumah bersama

Untuk pembelian rumah oleh individu

Jumlah pengeluaran adalah perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah
ATAU
Semua simpanan Akaun 2.

Sebagai contoh :

Katakanlah anda membeli rumah berharga RM200,000, dengan pinjaman 90% (RM180,000)

10% daripada harga rumah : 10% x RM200,000 = RM 20,000
Beza harga rumah dengan jumlah pinjaman :  RM200,000-RM180,000  = RM20,000

Jadi, jumlah yang layak untuk dikeluarkan adalah :

10% harga rumah + beza harga rumah dengan jumlah pinjaman
RM20,000 + RM 20,000 = RM40,000

Untuk pinjaman 100%, hanya 10% daripada harga rumah atau semua simpanan akaun 2

Untuk pembelian rumah bersama

Jumlah pengeluaran adalah perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah; ATAU Semua simpanan Akaun 2.
ATAU
Semua simpanan Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada amaun maksimum yang layak dikeluarkan

Sebagai contoh, jumlah yang boleh dikeluarkan adalah RM 40,000

Akaun 2 pemohon pertama : RM 15,000
Akaun 2 pemohon kedua     : RM 30,000

Pemohon pertama boleh mengeluarkan semua jumlah RM15,000 dan pemohon kedua boleh mengeluarkan RM25,000 bagi mencukupkan nilai pengeluaran RM40,000

Jika anda membeli rumah dengan harga tunai/tanpa pinjaman

Jumlah wang yang boleh dikeluarkan adalah mengikut harga rumah dan tambahan 10% atau semua simpanan Akaun 2

Sebagai contoh, harga rumah RM200,000
10% daripada RM200,000 = RM20,000

Jumlah yang layak dikeluarkan adalah RM220,000 atau semua simpanan akaun 2

CARA MEMOHON PENGELUARAN KWSP UNTUK MEMBELI RUMAH

Pastikan anda lepas syarat-syarat yang ditetapkan. Kemudian, sediakan dokumen-dokumen yang diperlukan. Apabila semua dah lengkap, proses kebiasaannya mengambil masa seminggu sahaja.

Dokumen yang diperlukan:

  1. Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL)(D5)
  2. Salinan dokumen pengenalan diri (jika bukan pemegang Mykad)
  3. Maklumat Akaun bank (Ahli digalakkan membawa buku akaun bank / penyata akaun bank / salinan akaun semasa membuat permohonan pengeluaran)
  4. Borang KWSP 3 (pindaan) – jika pengecaman cap ibu jari gagal di kaunter / permohonan melalui pos

Dokumen sokongan:

  1. Sale and Purchase Agreement
  2. Offer Letter Loan rumah anda
  3. Dokumen-dokumen lain yang diperlukan mengikut kes pembelian

Untuk pembelian tunai, sebaiknya rujuk KWSP terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.

Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank anda dengan syarat :-

  • Ahli mempunyai akaun bank yang aktif dengan panel KWSP yang dilantik; DAN
  • Nombor pengenalan diri ahli adalah sama dengan rekod bank
  • Bayaran dibuat dalam matawang Ringgit Malaysia (RM)
  • Sekiranya bayaran tidak berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank ahli, bayaran akan dibuat melalui Cek Jurubank

Untuk tinggal sementara di luar negara, mungkin bekerja di sana, bayaran adalah melalui Draf Bank Asing.

Kesimpulan

Anda layak atau tidak untuk memohon? Kalau dah layak, cubalah. Mana tahu pengeluaran KWSP untuk mebeli rumah dapat membantu anda untuk meringankan beban selepas membeli rumah.

Sumber
Portal Rasmi KWSP
Kaki Property

* AMARAN DARIPADA PIHAK KWSP

Kegagalan Mengembalikan Amaun Yang Tidak Digunakan Bagi Maksud Pengeluaran
Sekiranya pemohon tidak menggunakan bayaran pengeluaran bagi maksud pengeluaran dibuat, pemohon dianggap telah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi RM2,000.00 atau kedua-duanya [Seksyen 58A, Akta KWSP 1991 (Pindaan) 2007]

Membuat Kenyataan Yang Tidak Betul Atau Tidak Benar Atau Mengemukakan Dokumen Palsu
Sekiranya pemohon memberi kenyataan yang tidak betul atau tidak benar atau mengemukakan dokumen palsu, pemohon dianggap telah melakukan kesalahan dan sekiranya disabitkan pemohon boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau kedua-duanya[Seksyen 59, Akta KWSP 1991 (Pindaan) 2007]

Pembelian Bukan Untuk Tujuan Kediaman
Pengeluaran perumahan ini tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa dan sekiranya mana-mana transaksi yang dikesan oleh KWSP yang melibatkan pindahmilik kurang daripada satu (1) tahun, KWSP berhak untuk menolak permohonan pengeluaran atas alasan ia mengandungi unsur pembelian bagi tujuan pelaburan dan bukannya bagi tujuan kediaman sepertimana keperluan Akta KWSP

Leave a Reply

Close Menu